Portal ini masih didalam pembinaan, sebarang kesulitan amatlah dikesali

SOAL JAWAB KEWANGAN - APA PERLU DILAKUKAN SEKARANG ?

Dipetik daripada Berita Harian.

Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

Nota : Artikel ini telah diolah dan diubah semula oleh Zaidi Ismail. Pendapat dan pandangan yang diberikan oleh beliau adalah merupakan pendapat dan pandangan peribadi dan tidak mewakili pendapat serta pandangan urusinsan sdn bhd.

DULU segelas teh tarik boleh dibeli pada harga serendah 80 sen atau 90 sen, namun sekarang harganya mencecah RM1.20. Begitulah senarionya apabila tekanan kenaikan harga barangan menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan selain berjimat cermat dalam berbelanja. Kolum Kata Pakar mengundang Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin (AAAT) berkongsi tips belanja berhemat bagi si bujang mahupun yang sudah berumahtangga.

XY : Andaikan situasi ini, seorang lelaki bujang berpendapatan kurang RM2,000 mula merasa terhimpit dengan kenaikan harga barangan sekarang. Lelaki ini membayar sewa bilik RM350 tetapi beliau tidak memiliki kenderaan. Bagaimana sepatutnya lelaki ini berbelanja?

[AAAT] Cara berbelanja berhemat bagi lelaki bujang ini bergantung kepada di mana beliau tinggal dan jika beliau masih menetap di kediaman ibu-bapa atau menumpang di rumah adik-beradik mahupun saudara-mara.

Jika lelaki bujang ini tinggal di bandar dan berkongsi rumah dengan teman-teman, pendapatan bulanan sebanyak itu berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian. Ini berikutan faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini, terutamanya bahan makanan dan bahan bakar (dengan andaian pendapatan tersebut tidak berubah). Tambahan pula, kos sara hidup adalah lebih tinggi di bandar berbanding di luar bandar.

Nasihat saya jangan beli kenderaan bermotor persendirian buat masa ini terutamanya kereta. Ramai yang sedia maklum bahawa kos keseluruhan memiliki sebuah kereta di Malaysia adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara lain. Sebaliknya, untuk perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja, cuba ikhtiarkan 'car-pool' bersama teman serumah atau jiran lain, atau gunalah pengangkutan awam (bukan teksi). Jika rumah lelaki bujang ini terlalu jauh daripada laluan pengangkutan awam atau tempat kerja teman serumah atau jiran berada pada arah bertentangan dengan di mana beliau bekerja, maka terpaksalah beliau berusaha membeli motorsikal.

Bagaimanapun, lelaki ini dinasihatkan kita tidak berbelanja besar untuk memiliki kenderaan persendirian kerana ia akan mengalami kemerosotan nilai hanya selepas beberapa tahun. Sebaliknya, berusahalah menabung ke arah memiliki rumah sendiri kerana secara umumnya, nilai hartanah lambat-laun akan pasti meningkat. Malah, dengan memiliki rumah sendiri, kita tidak perlu lagi membayar sewa setiap bulan.

[ZAIDI ISMAIL] Pertama sekali, menyewa sebuah bilik dengan kadar sewa RM350 sebuah bilik adalah sangat mahal. Sebagai contoh, saya memiliki sebuah rumah sewa di Sunway Petaling Jaya , rumah pangsa 2 bilik dengan kelengkapan yang lengkap disewakan pada kadar RM500 sebuah rumah, kini rumah tersebut didiami dengan selesa oleh 3 orang bujang yang mana setiap seorang cuma perlu membayar RM167 seorang tidak termasuk kos elektrik dan air. Oleh itu RM350 sebuah bilik atau kos sewaan seorang adalah terlalu mahal, kecuali seseorang itu tinggal di apartment mewah. Terdapat banyak rumah yang disewakan  pada kadar rendah dan sederhana di kawasan sekitar Kuala Lumput dan Petaling Jaya, misalnya di Keramat yang mana saya juga memiliki sebuah rumah pangsa 2 bilik yang disewakan pada kadar RM400 , jika seorang tinggal sebilik sekalipun masih murah dengan kadar sewaan RM200 sebuah bilik. Oleh itu sewa bilik RM350 adalah terlalu mewah bagi orang bujang.

Kedua, ubah cara berfikir, kenapa perlu tinggal jauh daripada tempat kerja? kenapa tidak cari kediaman yang berhampiran dengan tempat kerja anda? Adakah kerana mengikut saudara-mara , sahabat-handai atau seronok tinggal bersama teman-teman dan kawan-kawan biarpun ianya jauh daripada tempat kerja anda? Kenapa tidak berpindah sahaja ke kawasan dimana anda bekerja? Lagipun perpindahan ini hanya dilakukan sekali semasa anda masih bekerja di tempat tersebut.

Ketiga , seorang bujang yang memiliki pendapatan sebanyak RM2000 sebulan adalah mewah, jika diambil 30% daripada pendapatan tersebut untuk disimpan, jumlah simpanan adalah sebanyak RM600 sebulan, setahun sebanyak RM7,200 setahun tidak termasuk kadar faedah dan dalam masa 10 tahun mampu mempunyai simpanan tunai melebihi RM72,000. Jika ditolak simpanan RM600 sebulan , masih terdapat RM1400 yang boleh digunakan, jika makan-minum diambil kira sebanyak RM20 sehari , kos makan dan minum hanya sekitar RM600 sebulan, masih terdapat baki sebanyak RM800 sebulan, jika sewa sebuah bilik dengan kos elektrik dan air sebanyak RM300 sebulan, masih terdapat RM500 sebulan untuk kos pengangkutan dan pakaian, jika diambil kadar bulanan LRT + bas  menggunakan pas bulanan diambil kira, kos pengangkutan baru RM135 sebulan , dan RM65 boleh digunakan sebagai kos pengangkutan kecemasan sebulan (teksi, bas express pulang ke kampung etc) , kos pengangkutan adalah sebanyak RM200 sebulan, ini menjadikan RM300 sebulan sebagai "disposal income" atau pendapatan boleh belanja untuk pakaian, hiburan daln lain-lain. Oleh itu pendapatan sebanyak RM2000 sebulan adalah selebih daripada mencukupi.

XY : Bagaimana pula seorang bapa yang memiliki tiga anak yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja? Apakah keutamaan yang perlu diberi jika lelaki ini berpendapatan RM2,500 sebulan serta perlu melangsai pinjaman kereta dan rumah sebanyak RM1,000 setiap bulan?

[AAAT] Andaikan RM2,500 adalah pendapatan bulanan bawa pulang (monthly take-home pay) bagi lelaki yang sudah berkeluarga ini. Selepas ditolak RM1,000 bagi melunaskan hutang untuk memiliki barang keperluan asas seperti rumah dan kenderaan, beliau hanya ada RM1,500 setiap bulan yang diperuntukkan untuk:

  1. makan-minum sekeluarga
  2. belanja persekolahan anak-anak termasuklah sebarang yuran, buku teks/latihan, bayaran kenderaan pergi-balik sekolah, wang saku dan sebagainya
  3. segala jenis pakaian termasuklah pakaian sekolah dan persatuan beruniform anak-anak, pakaian harian, pakaian untuk musim perayaan dan sebagainya
  4. rawatan perubatan
  5. sedikit wang simpanan yang boleh digunakan pada waktu kecemasan atau ketika ditimpa kemalangan
  6. susu formula, lampin dan sebagainya (jika ada bayi/anak kecil)
  7. bayaran gaji bulanan pembantu rumah (jika ada)

Berbekalkan baki hanya RM1,500 ini setiap bulan, saya rasa agak sukar bagi lelaki berkeluarga ini menampung kesemua perbelanjaan yang disenaraikan. Bagi mengatasi kemelut kesempitan wang ini, terpaksalah beliau meminta jasa baik si isteri untuk memberi sumbangan, itupun jika isteri beliau bekerja.

Bagaimanapun, sebagai ketua keluarga, perlu diingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab lelaki ini untuk menyediakan nafkah yang secukupnya bagi seisi keluarga. Untuk tidak membebankan si isteri, mungkin bapa ini perlu membuat dua pekerjaan atau mencari pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi bagi memenuhi tuntutan perbelanjaan.

Bagaimanapun, sebahagian daripada item yang tersenarai di atas tidak perlu dibeli atau dibelanjakan setiap bulan. Peruntukan yang tidak digunakan boleh terus disimpan sebagai persiapan untuk perbelanjaan di waktu perayaan atau ‘special occasions'.

Pada pandangan saya, tiada apa yang lebih penting bagi seorang bapa yang mempunyai tiga anak melainkan memberi keutamaan kepada perbelanjaan membesarkan mereka dan menyediakan pendidikan yang sewajarnya.

Apa yang saya ingin tegaskan adalah mulai hari ini, kita perlu menjadi pengguna yang bijak dengan berjimat-cermat semasa berbelanja dan dalam penggunaan bahan bakar, elektrik, air dan sumber-sumber semulajadi yang lain, mempunyai belanjawan peribadi dan pengurusan kewangan yang tersusun (termasuklah penggunaan kad kredit), memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap jenama generik sebagai alternatif kepada jenama terkenal yang lebih mahal, bercucuk-tanam atau berkebun di rumah (jika keadaan mengizinkan) dan sebagainya.

[ZAIDI ISMAIL] Pendapat saya mudah, jika isteri tidak bekerja, segala perbelanjaan makan dan minum keluarga dapatlah dikurangkan kepada tahap yang paling minimum, ini kerana kos makan dan minum keluarga seperti ini adalah tetap. Ini kerana suami dan anak-anak boleh membawa bekal ke tempat kerja atau kesekolah, mereka tidak memerlukan perbelanjaan makan dan minum tambahan. Apa gunaya isteri yang tidak bekerja jika tidak boleh menyediakan makan dan minum untuk suami dan anak-anak?

Perbelanjaan lain seperti pengangkutan ke sekolah , lampin , susu  tambahan dan sebagainya tidak diperlukan, ini kerana isteri tidak bekerja, oleh itu , isteri boleh menghantar anak ke sekolah dan menyediakan segala keperluan lain anak-anak termasuklah mengajar mereka dirumah dan memeriksa kerja-kerja sekolah mereka, terutama jika mereka masih bersekolah rendah. Sudah menjadi tugas isteri sebagai pendidik kepada anak-anaknya.

Akhir sekali, saya ingin memberikan satu contoh dan kisah benar kehidupan yang dijalani oleh abang saya sendiri. Beliau yang berusia pertengahan 40an yang mempunyai gaji bersih sebanyak RM17000 sebulan (take home pay) mampu untuk menyara 6 orang anak termasuk termasuk isteri yang tidak bekerja , memiliki sebuah rumah dan dua buah kereta pada waktu yang sama memiliki simpanan puluhan ribu ringgit. Jika beliau boleh melakukannya, saya kira keluarga yang berpendapatan bersih sebanyak RM2500 sebulan boleh juga melakukannya jika mereka berhenti dari membuat pelbagai alasan.

XY : Wajarkah seorang lelaki yang terdesak mendapatkan pinjaman peribadi ketika ini? Adakah ini dapat membantu meredakan masalah kewangannya? Apa yang perlu dipertimbangkan jika langkah memohon pinjaman peribadi terpaksa dilakukan?

[AAAT] Sebelum mendapatkan pinjaman peribadi, saya menggalakkan beliau menghalusi terlebih dulu niat sama ada ia betul-betul diperlukan dan menilai pro dan kontra dengan lebih mendalam. Jika tanpa pinjaman peribadi itu peluangnya untuk memperbaiki taraf hidup terjejas teruk atau ia menjadi persoalan antara hidup atau mati, maka beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan pinjaman peribadi sebagai jalan terakhir. Seboleh-bolehnya, saya ingin menyarankan agar beliau meneliti dan mengkaji semua langkah-langkah munasabah yang lain.

[ZAIDI ISMAIL] Pada pandangan saya ianya amat mudah, jika seseorang ingin membuat apa juga pinjaman peribadi tidak kira berapa pun jumlah pinjamannya dan berfikir mampu untuk membayar bayaran bulanan tersebut, mengapa tidak menyimpan sahaja jumlah yang sama? sebagai contoh, jika seseorang mahu meminjam RM10K dengan bayaran bulanan sebanyak RM200 sebulan selama 5 tahun misalnya, mengapa tidak simpan sahaja RM200 secara bulanan di tempat yang memberikan pulangan yang menarik, misalnya ASB dan pada akhir 5 tahun tersebut anda akan mendapat pulangan melebihi RM10K yang dipinjam. Jika pinjaman tersebut mahu digunakan untuk membayar hutang, mengapa tidak membayar terus hutang lama ? mengapa perlu membuata hutang baru ?  Itu seperti pepatah melayu "Gali Lubang Tutup Lubang" dan akhirnya masalah tidak juga selesai. Wang atau tidak kecukupan wang tidak akan membunuh hidup anda, yang membunuh anda adalah sikap anda sendiri dan bukannya wang.

XY : Bagaimana jika meminjam dari along atau ceti?

[AAAT] Pada pandangan saya, meminjam daripada along atau ceti adalah sesuatu yang wajib dielak dalam apa jua keadaan sekalipun memandangkan risikonya adalah terlalu tinggi.

[ZAIDI ISMAIL] 100% bersetuju dengan pandangan AAAT

XY : Apakah amalan atau hobi yang perlu dikorbankan dalam menyusun semula kewangan? Apakah amalan berkunjung ke cafe berjenama untuk mendapatkan secawan latte berharga lebih RM10 dianggap suatu pembaziran ketika ini?

[AAAT] Dalam situasi mencabar sebegini, adalah wajar kita mengubah gaya hidup dan minda ke arah perbelanjaan yang lebih sihat dan mapan. Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa zaman harga bahan makanan dan petrol yang murah sudah berlalu. Sementara menunggu apakah langkah-langkah kerajaan selanjutnya untuk meringankan beban rakyat, kita sendiri perlu bertindak segera dengan mengambil langkah berjimat-cermat dan mengekang nafsu agar tidak terpengaruh untuk berbelanja untuk sesuatu yang tidak mustahak dan mempunyai unsur pembaziran seperti makan-minum di restoran mahal, membeli barang kemas dan barangan berjenama, melancong ke luar negara dan sebagainya.

[ZAIDI ISMAIL] Pada ketika ini adalah saat yang paling sesuai untuk berbelanja yang paling penting ialah apa yang kita belanjakan. Sebagai contoh, pembelian harta pada ketika ini adalah murah, dengan kadar inflasi yang tinggi, wang jika disimpan di bank tidak memberikan nilai yang tinggi. Pembelian harta seperti ASB , hartanah dan apa juga pembelian harta yang dijual murah ketika ini adalah amat menguntungkan.

Akan tetapi jika perbelanjaan adalah lebih kearah beban seperti kereta / motosikal kecuali untuk perniagaan teksi dan kereta sewa, pakaian , makanan dan apa juga yang pembelian yang menjadi beban pada masa akan datang haruslah di elakkan. Jika anda keliru antara HARTA dan BEBAN. Sila rujuk nota dibawah antara perbezaan HARTA dan BEBAN supaya anda membuat keputusan yang bijak.

HARTA = Sesuatu yang memberikan pendapatan (Wang Masuk)

BEBAN = Sesuatu yang memerlukan anda mengeluarkan perbelanjaan bulanan (Wang Keluar)

XY : Mana lebih penting, mengisi petrol RM80 atau membeli sepasang kemeja-T berjenama yang diberi potongan diskaun 70 peratus?

[AAAT] Sudah tentu mengisi tangki minyak kereta adalah lebih penting dan lebih berfaedah terutamanya jika satu-satunya kaedah pengangkutan yang munasabah untuk kita bergerak. Meskipun dengan diskaun sebanyak 70%, ada kemungkinan kemeja T berjenama itu masih mahal. Cuba elakkan pembaziran dengan membeli alternatif yang lebih murah tetapi tidak kurang keselesaannya.

[ZAIDI ISMAIL] Bagi saya kedua-duanya merupakan satu pilihan. Kita boleh memilih untuk tidak mengisi minyak dan menggunakan kemudahan awam atau berjalan kaki sahaja dan kita juga boleh memilih untuk tidak membeli baju baru jika baju yang sedia ada masih boleh dan elok untuk digunakan.

XY : Mana lebih jimat, pandu kereta ke pejabat atau menaiki pengangkutan awam?

[AAAT] Secara umumnya, pengangkutan awam adalah lebih menjimatkan dan lebih mesra alam sekitar daripada menggunakan kenderaan persendirian. Namun, selain daripada faktor harga, ia banyak bergantung kepada tahap aksesibiliti, mutu perkhidmatan dan keselesaan sistem pengangkutan awam yang disediakan.

[ZAIDI ISMAIL] Saya sangat bersetuju jika pennguna menggunakan pengangkutan awam atau langsung tidak menggunakan kenderaan. Terdapat pilihan untuk tinggal berhampiran dengan pejabat anda.

XY : Apa petua pengurusan kewangan yang bijak? Wajarkah pengguna lelaki terus berbelanja bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang? Atau apakah rakyat kini panik hingga takut berbelanja?

[AAAT] Pendapat saya, mengawal perbelanjaan ketika kos sara hidup naik secara mendadak adalah suatu tindak balas bijak, rasional dan bukannya disebabkan oleh panik. Ini adalah kerana pendapatan dijangka akan kekal di takuk lama atau hanya naik sedikit dan tidak selari dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Jika kita sendiri tidak mengambil tindakan untuk memastikan kelangsungan hidup, siapa lagi yang lebih arif tentang apa yang kita perlukan dan siapa pula yang boleh diharap untuk menjamin kesenangan hidup kita.

[ZAIDI ISMAIL] Pengguna harus terus berbelanja tapi seperti contoh yang telah saya berikan diatas, berbelanjalah untuk menambah harta dan bukannya untuk menambah beban. Ini kerana berbelanja terhadap harta akan memberikan pulangan pendapatan dan pendapatan ini boleh terus digunakan untuk menambah harta dan begitulah seterusnya. Tiada larangan untuk memiliki harta sebanyak yang boleh, malah digalakkan. Apa yang penting ialah tujuan harta itu dibelanjakan kelak. Harta boleh menambah bilangan perkerjaan dan pekerjaan diperlukan oleh semua orang. Orang kaya boleh menyediakan pekerjaan dan orang miskin pula memerlukan pekerjaan. Fikir-fikirkanlah.