Portal ini masih didalam pembinaan, sebarang kesulitan amatlah dikesali

KEPENTINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN

Dalam keadaan hari ini dimana dunia huru-hara dengan bermacam masalah ekonomi, pendidikan kewangan amatlah diperlukan, banyak perkara telah berubah berbanding dengan zaman ibu dan ayah kita dahulu, 30 tahun yang lalu, kekayaan dapat dibina dengan hanya bekerja keras. Tetapi hari ini bekerja keras semata-mata tidak menjamin bahawa kita dapat membina kekayaan seperti zaman ibu dan ayah kita. Oleh kerana globalisasi, Ilmu dan pendidikan kewangan menentukan seseorang itu bakal menjadi miskin atau kaya, hari ini pekerjaan bukan lagi sesuatu yang kekal, disebabkan pelbagai faktor seperti persaingan , pasaran dan lain-lain , sebagai individu adalah amat penting bagi kita membuat persediaan kerana hanya mengharapkan satu pekerjaan semata-mata mungkin akan membahayakan kesihatan kewangan kita.

Hari ini, antara pendidikan kewangan yang penting ialah mempelajari kaedah menjalankan jualan , setiap daripada kita perlu tahu bagaimana untuk menjual, samaada menjual barangan , perkhidmatan mahupun kemahiran yang kita miliki. Suka atau tidak kita perlu belajar menjadi seorang jurujual, ini kerana keadaan semasa menunjukkan bahawa budaya kepenggunanaan semakin menebal didalam masyarakat hari ini, dilihat hari ini hampir semua perkara perlu dibayar, ini berbeza sekali pada 30 tahun yang lalu dimana masyarakat masih menjalankan aktiviti sukarela, hari ini kita perlu mengutip derma untuk membantu mereka yang memerlukan.

Mengapa kemahiran menjual menjadi sebahagian daripada pendidikan kewangan, menjual memerlukan kita mengetahui terma kewangan seperti untung dan rugi, aliran tunai , kos , amortisasi dan sebagainya. Bagaimana kita mahu memaksimakan pendapatan daripada harta kita jika kita tidak tahu menjual? Kenapa ada yang memiliki harta yang sama seperti orang lain tetapi tidak mendapat sebarang pendapatan daripadanya? Ada yang memiliki rumah , kereta , tanah , malah pekerjaan tetapi tidak mendapat pendapatan , jika ada pun ianya amat sedikit untuk menampung kehidupan? Ini kerana harta tersebut tidak dimaksimakan dan bagi kebanyakan orang, mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapat pendapatan maksima daripada harta tersebut.

Jelas sekali pendidikan kewangan amatlah penting, sayang sekali ianya tidak diajar di sekolah , tiada mata pelajaran pendidikan kewangan diajar disekolah, saya kira jika ada, pasti ramai yang berhenti sekolah dan hanya fokus pada penambahan harta daripada meneruskan pengajian mereka. Disini ingin saya tegaskan bahawa hanya melalui pendidikan kewangan kita dapat menjamin kesihatan kewangan kita sentiasa sihat dan menjauhkan kita dari masalah kewangan, melalui pendidikan kewangan kita akan dapat membezakan antara keputusan kewangan yang baik berbanding dengan yang buruk , ianya dapat mengelakkan kita tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya dan pelbagai lagi skim penipuan yang banyak terdapat hari ini.

Perbezaan paling ketara hari ini ialah manusia menjadi semakin rakus dan terikut dengan apa yang ditonjolkan oleh media biarpun kebanyakan perkara yang ditonjolkan tidak benar sama sekali, kita terikut-ikut dengan cara hidup daan budaya yang ditonjolkan, kita menganggap bahawa mereka yang berbelanja besar, berkereta besar , rumah besar dan sebagainya sebagai simbol kekayaan. Akan tetapi kekayaan bukan diukur dengan harta benda tetapi ianya diukur melalui berapa lama kita boleh hidup hari ini tanpa perlu bekerja, tanpa pendidikan kewangan, bagaimana persediaan kita jika kita hilang sumber pendapatan daripada pekerjaan kita? Tanpa pendidikan kewangan, apakah kita mampu memilih produk kewangan yang sesuai dengan keadaan kita? apakah membeli rumah dengan pinjaman selama 30 tahun lebih baik berbanding dengan pinjaman 15 tahun ? Apakah kriteria yang anda lihat sebelum memilih pinjaman perumahan yang sesuai? adakah cukup hanya sekadar melihat jumlah bayaran bulanan sahaja? atau adakah anda percaya 100% apa yang bank anda pilih untuk anda? bagaimana anda membuat keputusan tersebut? Adakah anda tahu bagaimana untuk memaksimakan pemilikan harta tanpa perlu membayar cukai untuknya? atau memiliki pendapatan daripada harta anda tanpa perlu membayar cukai ? Adakah anda tahu hak anda dari segi pemotongan cukai jika anda tidak mempunyai pendidikan kewangan?

Jika anda rasakan bahawa pendidikan kewangan penting bagi anda untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar hari ini, maka cari dan pelajarilah ia, persoalannya kini dimana sumber yang sesuai yang boleh anda mendapat pendidikan kewangan?

Yang pasti terdapat beberapa tempat yang tidak sesuai untuk anda pelajari tentang kewangan, hindari daripada sumber-sumber berikut :-

 

  1. Bank anda - Bank tidak mengajar bagaimana untuk menguruskan kewangan anda, mereka menjual produk kewangan, mereka tidak mendidik , mereka hanya mejual produk kepada pengguna. Setiap produk yang mereka jual akan dikenakan faedah atau caj. Ingat!!!! mereka berniaga dan peniaga mencari untung daripada anda.
  2. Agen Insuran - Mereka tidak mendidik masyarakat tentang ilmu kewangan, mereka menjual produk untuk mendapatkan komisyen, itu pekerjaan mereka, jika anda mahu tahu tentang insuran, anda boleh tanya mereka tetapi bukan tentang bagaimana untuk mengurus kewangan atau menambah harta, ingat!!! mereka adalah jurujual, keutamaan mereka adalah untuk menjual insuran kepada anda.
  3. Rakan sekerja anda - Jika rakan sekerja anda mempunyai pendidikan kewangan yang lebih baik daripada anda, besar kemungkinan mereka tidak akan menjadi rakan sekerja anda, mereka telah lama berhenti kerja dan lakukan sesuatu yang mereka suka tanpa terikat dengan sesuatu pekerjaan hanya kerana mahu mendapatkan gaji bulanan. Jangan cari mereka yang sama seperti anda untuk mendapatkan pendidikan kewangan, ini kerana keadaan mereka sama seperti anda, tidak lebih baik.
  4. Saudara-mara - Saudara mara bukanlah satu sumber yang boleh dipercayai terutama apabila berkaitan dengan kewangan, kebiasaannya sauadara mara tidak mahu berkongsi pengalaman dalam banyak hal, antara lainnya ialah kerana sikap cemburu, iri hati , ragu dan yang utama ialah tidak mahu bertanggungjawab. Kebanyakan saudara mara berada didalam keadaan sama seperti kita, jika kita miskin, besar kemungkinan kita memliki sauadara mara yang miskin juga.
  5. Ibu - bapa kita - Oleh kerana zaman yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza, saya tidak nafikan nasihat orang tua-tua seperti menyimpan dan membeli harta untuk masa depan masih lagi relevan tetapi cara dan kaedah menyimpan dan membina harta amat berbeza jika dibandingkan zaman dahulu sebelum 80an.

 

Jika begitu , dimana sumber pendidikan kewangan yang sesuai pada hari ini.

 

  1. Melalui pelbagai buku dalam subjek kewangan peribadi , pilih penulis yang mempunyai rekod atau pengalaman dalam subjeknya dan bukannya penulis komersil yang hanya "copy & paste" daripada maklumat yang tersedia ada.
  2. Melalui kelas dan Seminar kewangan yang dikendalikan oleh mereka yang mempunyai rekod dan kejayaan dan bukannya seorang yang hanya tahu bercakap tetapi dia sendiri tidak boleh dan tidak mengaplikasikan teorinya.
  3. Internet - Internet seperti sebuah perpustakaan dunia. Terdapat banyak maklumat yang boleh mengajar kita, kita cuma perlu tahu bagaimana untuk menapis maklumat yang diperlukan.
  4. Mentor - Cari sekumpulan orang yang diketahui berjaya untuk menjadi mentor atau rujukan kita, pengalaman mereka mengatasi sebarang buku , seminar mahupun internet. Mentor dapat membantu memberikan pandangan dan pendapat tentang sesuatu perkara, belajar dari pengalaman mereka, kita dapat memendekkan waktu dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan kewangan.

 

Diharapkan agar kita sentiasa belajar dan menambah ilmu kewangan kita supaya kita tidak ketinggalan kelak dalam menghadapi dunia moden yang semakin mencabar.

Salam Zaidi Ismail